Baju Seperti Sotong! Rekaan Datuk Rizalman Dikecam

PETALING JAYA: Pereka fesyen tersohor negara, Datuk Rizalman Ibrahim sekali lagi menjadi mangsa kritikan netizen dan kali ini melibatkan rekaannya umpama seekor sotong.

Busana putih untuk jutawan, Norhaili Ahmad Mokhtar yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EB Champions United itu dikritik dan dilabelkan dengan beberapa nama seperti puding, bulu tangkis dan kebanyakannya menganggap rekaan itu seperti sotong kurita.

Busana yang dikatakan mengambil masa selama 96 jam untuk disiapkan itu dipakai Norhaili sempena Malam Anugerah Public Mutual 2018 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan, Selangor pada Ahad lalu.

Rizalman bersama Norhaili yang sedang mencuba busana rekaan beliau. Foto Instagram rizalman71

Bagaimanapun Rizalman mempertahankan busana tersebut direka bersesuaian dengan wanita itu yang memakainya pada majlis berkenaan untuk menerima penghargaan tertinggi.

“Seorang pereka yang sensitif dan peka akan mengetahui bahawa rekaannya itu setaraf atau tidak dengan keadaan sekeliling.

“Untuk seorang juara seperti beliau pada malam itu, beliau juga berhak untuk memakai busana ‘sang juara’.

“Bayangkan kalau kostum dia tak ‘sotong’… mesti beliau kelihatan seperti cumi-cumi atau plankton tenggelam di tengah lautan manusia,” kata Rizalman di laman sosial Instagramnya pada Selasa.

Norhaili atau Elly memilih busana rekaan Rizalman sempena kemenangannya sebagai juara pengurus agensi kumpulan. Foto Instagram ellybillionaire

Norhaili atau lebih mesra dengan pangilan Elly menerima anugerah Juara Pengurus Agensi Kumpulan dengan nilai jualan kumpulan sebanyak RM228 juta pada 2017.

Menurut Elly, beliau meminta Rizalman untuk menghasilkan busana yang bersesuaian dengan perjuangannya selama sedekad.

Beliau yang kini hamil selama tujuh bulan berkata, dirinya mahu berjuang demi visinya, memecah rekod dan memberi motivasi dan membawa kumpulannya untuk mencapai yang terbaik.

“Saya mahu dia (Rizalman) ‘menyorok’ perut kandungan saya tujuh bulan. Ya, ia dihasilkan seperti mana yang saya inginkan. Ratu EllyBillionaire – yang berada di pentas juara selama 10 tahun berturut-turut!.

“Terima kasih Datuk Rizalman Ibrahim untuk pakaian saya yang hebat. Beliau merupakan satu-satunya pereka yang melangkaui imaginasi saya!,” kata Elly di Instagramnya pada Isnin.

Malahan pengacara majlis turut memuji busana rekaan Rizalman itu sewaktu Elly naik ke atas pentas untuk menerima anugerah.

“Busana yang cukup hebat… anda perlu menjadi juara untuk memakai busana ini. Ini yang saya beritahu anda,” katanya.

 

Sumber: Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *